Kenyataan Media Ketua Umum Nahdhatul Ulama’ Malaysia Mendepani Krisis COVID-19 : Pemerkasaan Masyarakat Dan Muafakat Komuniti

“Kepada para ulama, asatizah, pemimpin dan seluruh rakyat Malaysia, kita sekarang menghadapi krisis kesihatan akibat wabak COVID-19 yang tiada pernah berlaku dalam sejarah negara hingga memberi kesan pada jiwa, mental, ekonomi seluruh rakyat negara ini. Sudah terdapat kes bunuh diri, kelaparan, kecurian dan lainnya yang amat bahaya jika tidak ditangani dengan baik

Semua pihak perlu terlibat dalam menghadapi krisis ini dalam lingkungan masing-masing, kita tidak boleh semata-mata mengharap pada kerajaan tetapi berganding bahu menanganinya. COVID-19 adalah ujian dari Allah dalam menguji umat akhir zaman, hendaklah kita redha dan sabar dengan segala takdir-Nya. Kita berusaha dan berdoa agar wabak ini diangkat Allah dari muka bumi ini sepenuhnya.

Saya menyeru agar para agamawan dimana jua berada memainkan peranan memberi ketenangan pada masyarakat dengan keimanan dan ketaqwaan. Hidupkan majlis ilmu, tazkirah, al-Quran, zikir, selawat khususnya dalam komuniti masing-masing. Manfaatkan teknologi hari ini agar terus dapat membimbing dan menghidupkan program rohani masyarakat hari ini. Saya amat menyeru agar masjid dan surau sebagai pusat kerohanian tidak di tutup, tetap hidup dengan mengikuti SOP yang ditetapkan.

Disaat ini, kita perlu membangunkan muafakat komuniti berasaskan kasih sayang, prihatin dan saling membantu bagaikan sebuah keluarga besar tanpa mengira kaum dan agama termasuk warga asing yang berada di tempat kita. Pastikan agar tiada jiran, sahabat dan komuniti kita yang lapar, susah, hilang tempat tinggal, tiada ubatan, tiada elektrik dan lainnya.

Dengan kekuatan muafakat komuniti yang turut disertai pelbagai golongan cerdik pandai dalam pelbagai bidang, sebaiknya bersama merangka program dan sistem agar dapat membantu ekonomi masyarakat. Mereka yang minat berniaga dibantu dengan modal dan latihan dan juga memberi pekerjaan yang sesuai dengan kebolehan mereka.

Saya amat menyokong kempen yang dijalankan kini iaitu Tabung Jumaat Prihatin, memberi sumbangan RM10.00 pada setiap Jumaat yang mulia (sempena barakah penghulu hari) kepada semua badan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam negara bahkan luar negara yang aktif membantu masyarakat dimana jua khususnya dalam komuniti masing-masing. Walaubagaimanapun, sumbangan pada hari lain tetap digalakkan.

Apabila masyarakat memberi sumbangan secara istiqamah setiap hari Jumaat, sudah pasti badan atau NGO di komuniti anda dan dimana jua akan miliki dana yang cukup untuk membantu masyarakat. Ia boleh bersifat seperti baitulmal dalam komuniti, bukan sekadar membantu keperluan asas, tetapi boleh membayar rumah sewa yang tertunggak, bil, kos perubatan, pendidikan, membantu modal bina usahawan dan juga memberi pinjaman tanpa riba agar masyarakat tidak berhutang dengan Ah Long yang pasti mengambil kesempatan dalam saat ini.

Wujudkan kerjasama dengan agensi kerajaan seperti badan kebajikan, latihan usahawan, institusi kewangan, pusat zakat, para pemimpin dan lain-lain agar dapat memudahkan urusan menjayakan program komuniti.

Semoga amalan selawat dan infaq pada hari Jumaat disemarakkan. Moga dengan selawat melimpah rahmat Allah hingga wujud rasa tenang pada jiwa dan aman pada negara. Bersama kita berdoa agar wujudnya kestabilan politik, terangkatnya wabak COVID-19 dan ekonomi negara kembali pulih.

Kita juga berdoa agar seluruh rakyat bersatu dalam menangani krisis ini, memberi teguran dengan penuh adab jika dilihat ada kelemahan pihak kerajaan dalam menangani dan memberi kesetiaan pada Seri Paduka Baginda sebagai khalifah dalam memimpin Negara ini.“

Nahdhatul Ulama Malaysia (NA’AM) 16 Julai 2021

Link download –

Kenyataan-Media-Ketua-Umum-NAAM-Mendepani-Krisis-COVID-19

Sumber Asal – https://www.naammalaysia.org/kenyataan-media-ketua-umum-nahdhatul-ulama-malaysia-mendepani-krisis-covid-19-pemerkasaan-masyarakat-dan-muafakat-komuniti/