KENYATAAN MEDIA PEMERHATI RASUAH MALAYSIA (MCW) BERKENAAN PERUNTUKAN KERAJAAN RM 300,000 UNTUK SETIAP AHLI PARLIMEN BAGI DIAGIHKAN MELALUI PROGRAM BAKUL MAKANAN.

1. MCW ingin mengingatkan Ahli Parlimen yang menerima peruntukkan ini untuk tidak meletakkan nama, foto dan logo parti pada bungkusan makanan dalam usaha mendidik rakyat benci kepada Rasuah dan utamakan Integriti.

2. Peruntukan ini adalah daripada kerajaan pemerintah dan menggunakan wang cukai rakyat. Oleh itu, bakul makanan ini adalah agenda nasional dan bukannya sumbangan peribadi Ahli Parlimen tersebut.

3. Konflik kepentingan perlu dielakkan di musim pandemik ini. Berikut adalah beberapa peringatan penting yang perlu diberikan perhatian:

i. Bakul makanan ini bukanlah alat kempen politik untuk mendapat sokongan pengundi. Tiada logo parti atau gambar pemimpin yang boleh dilekatkan dibakul tersebut.

ii. Pembekalan bakul ini juga perlu diberikan secara telus kepada pembekal yang bukannya kroni atau kaum keluarga kepada ahi parlimen tersebut.

iii. Pemberian bakul mestilah kepada rakyat yang memenuhi syarat.

iv. Peruntukan itu harus tidak berdasarkan kepada sokongan parti, bangsa, agama atau kesetiaan kepada puak tertentu.

v. Kerajaan wajar sediakan garis panduan jelas berdasarkan semua perkara tersebut.

4. Pembekalan mestilah diberi peluang kepada peniaga tempatan yang sanggup memberi tawaran yang terbaik. Segala langkah penjimatan termasuk kos pengagihan dan pengangkutan sewajarnya ditanggung sendiri oleh ahli parlimen tersebut bagi memaksimumkan bantuan untuk rakyat yang sedang dalam kesusahan ini

5. MCW berharap bantuan ini diagihkan secara menyeluruh dan tidak terhad kepada pesakit Covid19 sahaja. Pengagihan perlu dijalankan secara terbuka di Pusat Khidmat Wakil Rakyat atau di Pejabat Daerah / Penghulu sahaja. Semua penerima mestilah didaftarkan untuk tujuan pelaporan.

6. Ahli MCW dan anggota masyarakat di seluruh negara disaran untuk membantu memantau dan melaporkan sebarang ketirisan yang berlaku agar satu tindakan segera dapat dibuat. Jumlah barangan, berat, kualiti dan tarikh tamat tempoh serta proses pengagihan perlu diperhatikan.

Talian panas MCW – +6017 811 1472 bersedia selama 24 jam bagi menerima sebarang laporan yang berkaitan.

HAJI JAIS ABDUL KARIM
PRESIDEN
7 JULAI 2020