Proses Samak

Kajian saintifik buktikan mengapa tanah penting dalam proses mencuci (samak) jilatan anjing seperti yang dinyatakan Rasulullah

Dalam Islam, air liur anjing diklasifikasikan sebagai salah satu daripada najis mughallazah, yakni najis berat. Sebab itu diharuskan untuk umat Islam menyucikan bekas jilatan anjing dengan membasuhnya menggunakan air sebanyak tujuh kali. Salah satu di antara basuhan itu perlu menggunakan air tanah.

Dari Abu Hurairah r.a, Nabi Muhammad s.a.w bersabda: “Sucinya wadah seseorang saat dijilat anjing adalah dengan membasuhnya sebanyak tujuh kali, salah satunya dengan menggunakan tanah.” (Hadis Riwayat Muslim)

Tahukah anda, kenapa kita diharuskan membasuh bekas jilatan anjing dengan tanah?

Kajian yang dilakukan oleh seorang pakar haiwan di London, Dr. Ian Royt, terhadap 60 ekor anjing menemui 180 sel-sel telur cacing pita dalam satu gram bulu anjing. Seperempat lainnya membawa 71 sel telur berupa larva kuman, manakala tiga daripadanya sudah cukup matang untuk menempel pada kulit manusia.

Apabila dilakukan pemeriksaan ke atas sel-sel telur cacing tersebut, Dr. Royt mendapati ia sangat melekit dengan ukuran panjang mencapai satu milimeter (mm).

Ulat-ulat ini dikesan berkembang biak dalam usus anjing dan sering ditemui dalam cairan najis serta air liurnya sehingga dikatakan dapat menularkan berbagai-bagai penyakit merbahaya.

Ini kerana fitrah anjing akan menjilat-jilat tubuhnya. Ketika ia menjilat untuk membersihkan daerah anus, telur cacing atau virus tocks characins akan menular ke dalam mulut, air liur, kulit dan bulu haiwan tersebut.

Virus ini disifatkan berbahaya kerana mampu membiak dalam organ-organ manusia. Lebih-lebih lagi, mereka yang tidak membasuh tangan selepas memegang anjing atau tanpa membersihkan bekas makanan dari jilatan anjing terlebih dahulu sebelum menggunakannya.

Sebelum ini, ia pernah dikesan wujud di dalam mata manusia sehingga boleh mengakibatkan penglihatan menjadi kabur dan buta. Ia juga sering ditemui hidup membiak berupa kantung sebesar kepala embrio di dalam paru-paru manusia. Cacing jenis Echinococcosis ini berupaya hidup membiak dalam tubuh manusia selama bertahun-tahun.

Daripada data statistik di Amerika Syarikat menunjukkan terdapat 10 ribu orang terkena virus tersebut dan kebanyakannya ialah kanak-kanak.

Persatuan Pakar Pediatrik di Munich-Jerman turut mendedahkan, kuman bawaan anjing sangat mudah memasuki organ manusia melalui sistem terbuka seperti bekas gigitan anjing.

Namun, fakta yang harus diketahui, bahaya anjing bukanlah pada air liurnya sahaja. Menurut sekumpulan penyelidik dari University of Munich, memelihara anjing turut meningkatkan risiko barah payudara. Malah, kebarangkalian untuk menghidapinya juga jauh lebih tinggi berbanding menjaga haiwan lain seperti kucing atau arnab.

Dikatakan begitu kerana hasil kajian terhadap penderita barah payudara, hampir 80 peratus daripadanya sering bermain-main seperti memeluk, mencium, menggendong, memandikan dan segala aktiviti melibatkan anjing. Hanya tidak sampai lima peratus di kalangan pesakit itu yang tidak memelihara anjing.

Di Norway misalnya, lebih separuh daripada 14,401 orang pemilik anjing turut disahkan menghidap penyakit mematikan itu.

Sebagai langkah pencegahan, ahli perubatan menganjurkan untuk membasuh tangan dengan bersih selepas bermain dengan anjing. Atau dalam erti kehidupan seorang Muslim, ia harus disamak.

Berbicara soal menyamak ini, pernah suatu ketika bekas Presiden Indonesia, Soekarno, mengatakan bahawa pada zaman sekarang tidak perlu lagi menyamak apabila terkena najis berat. Cukuplah dengan hanya membasuh menggunakan sabun. Pendapat beliau ditentang oleh para ulama di sana pada waktu itu.

Bagi membuktikan yang mana lebih relevan – penggunaan sabun atau tanah, satu eksperimen mengenainya telah dijalankan. Dua sampel yang telah dijilat anjing kemudian dibersihkan. Satu dicuci menggunakan sabun dan satu lagi dibersihkan dengan tanah.

Hasil pemeriksaan di bawah mikroskop menunjukkan, sampel yang dibersihkan dengan tanah terbukti sangat bersih dan bebas daripada kuman, berbanding sampel cucian sabun.

Apakah istimewanya dengan tanah? Satu kajian saintifik mendapati bahawa tanah, terutama daripada sumber gunung berapi, mengandungi agen antibiotik yang mampu melemahkan bakteria berbahaya daripada merebak.

Ahli perubatan Perancis, Line Brunet de Course menemukan perkara itu selepas melakukan uji kaji spesifik terhadap tanah liat hijau dari gunung berapi Perancis.

Tanah itu mampu menghapuskan 99 peratus jajahan pepijat dalam masa sehari. Pada masa sama, ia juga mampu membunuh bakteria berbahaya lain. Termasuklah virus salmonela dan penyakit pemakan daging dipanggil buruli, yang telah mencacatkan majoriti kanak-kanak di seluruh Pantai Gading dan Kenya di Afrika.

Dengan ciri-ciri penyembuhan pada tanah liat, Dr. Course kemudian menggunakannya sebagai antibiotik, menggantikan penisilin dalam mengubati kanak-kanak malang di selatan dan barat Afrika.

Ternyata, ia steril terbaik di dunia apabila berjaya menyembuhkan 50 kes pada tahun 2002. Dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut menganggap ia sebagai penemuan yang ‘mengagumkan’.

Satu lagi kajian berjudul Antibacterial Activity of Soil-Bound Antibiotics, terbitan tahun 2005 turut mengesahkan bahawa material dalam tanah merupakan unsur efektif untuk proses sterilisasi beberapa kuman.

Kajian oleh sekumpulan penyelidik – Yogesh Chander, Kuldip Kumar, Sagar M. Goyal dan Satish C.Gupta itu menunjukkan bahawa dua unsur antimikrob dalam tanah, yakni tetracycline dan tylosin, telah dikesan berupaya menghentikan pertumbuhan dan pembiakan virus. Dengan kata lain, tanah merupakan zat yang sangat bersih, di mana zat-zat tersebut mampu menghapuskan mikrob berbahaya.

Inilah rahsia di sebalik kenapa Rasulullah menyarankan kita menyamak najis berat seperti air liur anjing menggunakan air sebanyak tujuh kali, salah satunya dengan tanah sejak lebih 1,400 tahun dahulu.

Sesungguhnya, penemuan saintifik ini turut menjustifikasikan dan membenarkan tutur kata baginda.

Sumber: Utusan TV