Warkah Cinta Buat Pengantin

Wahai para pengantin,
Dengarlah nasihat ini jika memberi manfaat…
Jadikan TAQWA sebagai tapak dalam pembinaan rumahtanggamu.
Tanpa tapak yang kukuh, seindah manapun bangunan walau disaluti permata sekalipun akan runtuh berkecai jua.
Dengan takwa, nafsumu diikat, fikiranmu terjaga, segala tindakan dan keputusan penuh
hati-hati.


Wahai sang suami,
Ingatlah isterimu bukan milikmu yang mutlak, ia hanya amanah yang dititipkan Allah padamu.
Ia dicipta sebagai teman kebahagiaanmu, maka jangan engkau sewenang-wenangnya melakukan apa yang kamu mahu terhadapnya.
‘Tuan’ bagi isterimu sentiasa memerhati akan tindakanmu, di akhirat Dia akan bersoal jawab denganmu.
Wanita adalah kecintaan dan penyejuk jiwa Rasulullah صلى لله علیھ وآل ھ وسلم ketika hidupnya.
Kecintaan dan kebimbangan terhadap wanita terserlah sehingga dijadikan isi khutbah Baginda pada Haji Wida’, mengingatkan tentang kepentingan memelihara hak wanita.
Isterimu dicipta mempunyai keindahan dan kehalusan pada fizikal dan jiwanya.
Jiwa mereka penuh dengan emosi sehingga layak memikul tanggungjawab sebagai ibu serta pendampingmu yang paling setia.
Mereka suka melayani, cinta disayangi, mahukan pelindung, pembimbing, penolong dan kekuatanmu.
Himpunkan dua sifat dalam membimbing mereka iaitu tegas dan lembut.
Jangan ketegasanmu menghilangkan kelembutan, kasih sayang dan belas kasihan dalam hatimu.
Namun jangan pula kelembutanmu menghilangkan ketegasanmu.
Kesabaran adalah buah takwa dan ia menjadi penawar bagi jiwa yang rindukan maqam Cinta di sisi Allah.
Kamu jangan terlalu harapkan kesempurnaan isterimu, maka kesabaran adalah pakaian bagi lelaki yang sejati disebalik keberanian dan ketegasan.
Terimalah kelemahannya dan hadapi dengan sabar, redha dan bijaksana.
Setiap kesabaranmu adalah pembuka pintu tangga kewalian.
Jangan kamu hebohkan permasalahanmu, nanti akan jatuh maruah isterimu sedangkan maruah bagaikan aurat yang perlu ditutup oleh para suami yang sejati dan bertanggungjawab.


Duhai sang isteri,
Tetaplah dirimu dengan sifat cinta dan lemah lembut.
Sifat peka dan sensitif adalah anugerah Allah padamu, justeru hadapi suamimu dengan cinta dan kesabaran.
Jangan terlalu mengharapkan kesempurnaan, nanti dirimu akan kecewa.
Hadapi suamimu dengan lemah lembut, nanti meraka akan jatuh dan mendengar nasihatmu.
Jangan kemarahannya engkau hadapi dengan kemarahan, jangan engkau menjawab malah diam adalah lebih mulia dan bijaksana.
Beri nasihat dan perbetulkan suamimu pada masa yang sesuai.
Ego lelaki perlu dipelihara kerana ia adalah senjata dalam memelihara maruah diri dan keluarganya.
Namun perlu dijaga agar egonya jangan sampai dimurka Allah.
Jangan engkau mendesak sesuatu hal yang akan membebankan suami.
Jangan rendahkan suamimu dihadapanmu, dikalangan ahli keluargamu apatah lagi di luar rumahmu.
Kekurangan dirinya adalah hadiah Allah untuk kamu mujahadah dalam mencapai Cinta Allah.
Allah mencintai wanita yang sabar, lembut dan bijaksana.
Himpunkan tiga sifat ini, nescaya suamimu akan bahagia denganmu.
Satu ciri wanita solehah ialah suaminya tenang apabila meninggalkan rumah kerana keyakinan pada isterinya.
Jadikan dirimu sebagai pembantu bukan pembeban, kekasih bukan musuh, penasihat bukan ketua, penawar bukan racun.
Tutuplah keaiban mereka, jika terlalu melampau, maka minta nasihat mereka yang layak, bukan mengadu ke sana sini.
Ramai wanita yang menangis apabila kehilangan suami kerana rasa menyesal tiada melakukan sepenuh kebaikan pada suami ketika bersama.
Rumahtangga adalah berlian untuk akhiratmu, maka hargailah berlian jangan sampai kamu tiada pandai menilainya, nanti kamu menyesal apabila ia tiada lagi ditanganmu.
Semoga rumahtangga kalian diberkati dan dirahmati Allah.


Nukilan WAM